Gambar: INGimage
Anda pasti sudah arif dengan khasiat yang terkandung dalam kebanyakan makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan juga bahan makanan lain tetapi jarang ambil tahu berkenaan rempah ratus yang menjadi bahan perisa dalam amalan pemakanan seharian kita.
Bagi menu orang Asia, tentunya penggunaan rempah dan herba antara satu kemestian dalam hidangan lazim seperti rendang, kari, acar sehinggalah penyediaan kuih muih tradisional. Secara tidak langsung, rempah yang dibawa dan diperkenalkan oleh saudagar India ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melaka dulu, ada kebaikannya dan EH! senaraikan beberapa jenis yang sering anda gunakan dalam masakan.
Serbuk cili – Sumber yang baik untuk vitamin A & C serta kaya dengan potassium dan zat besi. Ia melancarkan aliran darah, melegakan aliran pernafasan yang tersumbat, mengurangkan kolesterol, meningkatkan imuniti, mengelak jangkitan ulser dan mengurangkan risiko kencing manis.
Pelaga – Sumber bagus untuk magnesium, serat dan zat besi selain zink, kalsium, vitamin C dan potassium. Ia bagus untuk detoks tubuh, memperbaiki buah pinggang, pundi kencing dan sistem penghadaman. Ia juga dikatakan bahan yang baik untuk hilangkan nafas berbau.
Halia – Cukup dikenali sebagai bahan yang mampu mengurangkan motion sickness, pening, sakit perut dan boleh membantu arthritis kerana kaya dengan magnesium, potassium dan vitamin B6. Ia juga dikatakan membantu meningkatkan fungsi antibodi dan menggalakkan perpeluhan.
Rosemary – melawan obesiti, penyakit hati, gastrik, penyakit kolesterol, penyakit berkaitan paru-paru seperti asthma dan edema.
Thyme – daun herba kering adalah sumber terbaik untuk vitamin K dan juga zat besi, kalsium, serat serta magnesium. Daun segar kaya dengan vitamin C. Ia juga dikatakan dapat membantu kesihatan otak sebagai pelindung sel dan antioksidan.
Bawang putih – Bahan masakan ini dikatakan mengelakkan jangkitan kulat, mencegah jangkitan bakteria kerana ia kaya dengan magnesium, vitaminB1, B6 dan C selain kalsium, fosforus dan protein. Ia juga bagus untuk mengurangkan kolesterol dalam daran dan menurunkan tekanan darah.
Bawang merah/besar – Sumber terbaik chromium, vitamin C, serat serta vitamin B6. Ia juga dikatakan dapat memperbaiki kesihatan kardiovaskular selain kesihatan tulang dan tisu sendi.
Kayu manis – Rempah popular ini kaya dengan magnesium selain menjadi sumber zat besi, serat dan kalsium. Dipercayai dapat menurunkan kandungan gula dalam darah, meningkatkan kadar metabolisme, kawal dan memperbaiki kesihatan kardiovaskular.
Kunyit – Ia membantu mengelakkan sel barah dari merebak, memperbaiki fungsi hati, mengurangkan kolesterol dan dikatakan mungkin membantu mengelakkan penyakit Alzheimer. Kunyit kaya dengan manganese, zat besi, vitamin B6, serat dan potassium.
Paprika – Ia kaya dengan serat, vitamin A, B6, C, K dan E selain zat besi dan potassium. Ia bagus untuk menghalang penyakit berjangkit serta sebagai antioksidan.
Parsli – Ia membantu meneutralkan bahan yang dapat mengelakkan ketumbuhan kerana ia kaya dengan vitamin A, K dan C selain zat besi dan folat. Ia juga bagus sebagai antioksidan, memperbaiki kesihatan jantung dan dikatakan baik untuk merawat sesetengah kanser dan arthritis.
Oregano – Sebagai sumber terbaik vitamin K, ia adalah antara sumber semulajadi asid lemak Omega-3 selain kalsium, vitamin A dan C. Ia juga bagus sebagai anti bakteria dan antioksidan.
No comments:
Post a Comment