Rempah ratus dagangan bernilai
Credit WARTAWAN SINAR HARIAN
Published: November 12, 2011
Keunikan rasa dan bau menjadi salah satu faktor rempah ratus sentiasa menjadi pilihan dalam kebanyakan menu masakan di Malaysia kini.
Tidak kira kaum Melayu, Cina, atau India, pasti terdapat menu masakan yang memerlukan penggunaan rempah. Seiring dengan budaya hidup berbilang kaum, kebanyakan menu masakan di Malaysia kini telah banyak dicampuradukkan.
Dahulu, rempah ratus lebih terkenal dalam masakan India, namun kini adalah tidak pelik jika dalam masakan Cina turut menggunakan rempah, begitu juga dengan masa-kan kaum Melayu.
Kewujudan percampuran cara masa-kan tersebut telah mewarnai tunas rasa generasi kini sehingga tidak keterlaluan jika dikatakan ia sebagai menu cita rasa Malaysia.
Penggunaan rempah ratus kini lebih mudah kerana ia dipasarkan dalam bentuk paket segera yang dipasarkan menerusi pelbagai jenama.
Antara serbuk rempah yang menjadi pilihan dan sentiasa digunakan dalam menu masakan termasuk rempah kari, kunyit, jintan, lada hitam, lada putih, dan rempah kurma.
Lambakan jenama di pasaran
Lambakan jenis dan jenama serbuk rempah di pasaran tempatan kini memberi banyak pili-han kepada pengguna. Rempah yang menjadi pilihan selalunya bergantung kepada cita rasa pengguna kerana lain jenama, lain rasa. Bagaimanapun, setiap produk yang dihasilkan mempunyai kelebihan tersendiri.
Antara jenama popular dan mudah didapati di pasaran tidak kira pasar raya besar atau kedai runcit adalah Adabi, Baba’s, Adami, Uro, Rempah Ratus Mak Siti, Brahim’s dan Faiza.
Terdapat pelbagai jenis serbuk rempah yang terdapat di pasaran dikeluarkan oleh syarikat tempatan termasuk serbuk rempah kari, serai, lengkuas, halia, kayu manis, cili padi, cili merah, asam gelugur, kunyit, daun kari, daun kesum, dan sebagainya.
Bagi masyarakat Melayu, masakan berasaskan kari menjadi antara masakan digemari yang sering dihidangkan pada majlis kerama-ian dan perayaan.
Asal usul kari
Kari berasal dari India dan merupakan nama untuk pelbagai hidangan berempah yang terkenal di Bangladesh, India, Sri Lanka, Indonesia, Thailand dan negara lain di Asia Selatan dan Asia Tenggara.
Pada abad ke-15 dan ke-16, kedudukan geografi Selat Melaka yang terletak di tengah-tengah jalan laut di antara China dan India yang strategik di benua Asia menjadikannya sebagai kawasan tumpuan pelabuhan pedagang, sekali gus membolehkan Melaka mengawal serta menguasai perdagangan di Selat Melaka.
Hubungan erat antara Melaka dan India telah membawa masuk pelbagai bahan dagangan India yang kaya dengan rempah ratus, kayu cendana, bunga cengkih, buah pala dan biji timah.
Pada masa itu, Pelabuhan Melaka yang mempunyai hasil dagangan penting iaitu rempah ratus menjadi rebutan saudagar dari timur dan barat yang sangat memerlukan bahan tersebut.
Serbuk kari adalah campuran lebih daripada 20 rempah dan herba yang dikisar bersama. Antaranya termasuk cili, pelaga, kulit kayu manis, bunga cengkih, daun ketumbar, jintan putih, jintan manis, halba, buah pala, lada, kas-kas, bijirin bijan, safron, asam jawa dan kunyit.